Saturday 2 February 2013

Hakikat Hari Kelahiran

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah SWT dengan nikmat iman, islam dan kehidupan yang di kurniakanNya. Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Semuanya bermula dengan usaha dakwah baginda dalam menyambung tugas para nabi dalam menyampaikan mesej dakwah dan kalimah tauhid. Tanpa pengorbanan yang baginda lakukan bersama para sahabat yang lain, mungkin kita hari ini berada dalam agama majusi, hindu, buddha mahupun kristian. Dengan usaha yang di bawa oleh baginda S.A.W maka kita dapat mengetahui dan memahami apa itu Islam. Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 33.

Yang bermaksud: Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Artikel ini penulis coretkan sempena hari ulang tahun kelahiran penulis pada 24 Januari yang lalu yang bersamaan dengan satu tarikh yang istimewa bagi semua umat Islam iaitu 12 Rabiulawwal, dimana lahirnya seorang tokoh Islam yang bernama Nabi Muhammad SAW. Sungguh penulis berasa terharu dan gembira apabila hari ulang tahun kelahiran penulis kebetulan jatuh pada hari yang sama dengan hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Bermulanya tarikh ini juga penulis berazam untuk memulakan kehidupan yang baru untuk menjadi seorang hamba Allah yang soleh dan beriman, berdasarkan mafhum hadis Nabi Muhammad SAW:

“ Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka”. Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Artikel ini juga penulis persembahkan untuk diri sendiri sebagai hadiah yang teristimewa dan untuk muhasabah diri. Terima kasih penulis ucapkan kepada semua yang telah memberikan ucapan yang sangat bermakna dan mendoakan kerahmatan serta keberkatan dalam umur penulis. Penulis tidak berasa kesunyian dengan adanya ucapan dan doa daripada semua sahabat termasuklah yang mengucapkan melalui Facebook, telefon bimbit, dan sebagainya. Walaupun ucapan dan doa tersebut melalui Facebook, dengan hanya menaip dan menekan klik, tetap bermakna bagi penulis kerana ucapan dan doa tersebut lahir melalui hati yang ikhlas daripada semua sahabat dan keikhlasan itulah yang menyebabkan penulis berasa terharu. Moga apa yang sahabat doakan untuk penulis juga terbias kepada diri sahabat sendiri dalam meniti baki-baki umur di dunia ini.

Tiada istilah yang lebih besar selain kalimah syukur yang dapat penulis ucapkan kepada Allah SWT kerana telah memanjangkan usia dan umur penulis untuk mengambil segala manfaat yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Dalam masa yang sama untuk memberikan peringatan kepada penulis untuk penulis berhenti sejenak bermuhasabah atas apa yang penulis lakukan dan amalkan selama ini.

Umur merupakan satu nikmat paling berharga yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia, kerana umur adalah penentu kepada perjalanan kita di dunia dan akhirat. Jika umur kita diberkati oleh Allah Taala maka segala amal perbuatan kita juga turut dipandu dan dibimbing oleh Allah dalam segenap lapangan kehidupan. Jika umur yang panjang tetapi tidak diberkati oleh Maha Pencipta, maka tidak mustahil penghujung kehidupan kita akan binasa hatta di dunia lagi. Semoga kita semua dijauhkan daripada segala kemungkinan yang tidak baik seperti ini. Maka, mengingati ulang tahun kelahiran itu amat penting dalam hidup seorang insan.

Memperingati tarikh kelahiran diri sendiri dan sesorang insan adalah perkara yang baik dan harus. Menyambut hari kelahiran dengan pelbagai cara dan keramaian juga tidak salah sekiranya apa yang kita lakukan itu tidak menyalahi hukum dan adat seperti membazir, membuat majlis tari menari dan lain-lain. Setiap perkara yang kita lakukan mestilah mempunyai niat yang betul iaitu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Berdasarkan hadis yang pertama dalam kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi:





Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya: " Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : - "Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya."

(Riwayat al-Bukhari no.1, 54, 2529, 3898, 5070, 6689, 6953, Muslim no. 1907, Abu Daud no. 2201, al-Tirmizi no. 1646, al-Nasai`i no.1/59-60, VI/158, Ibn Majah no. 4227 dan Ahmad no. 1/25, 43)

Akhirnya penulis ingin mengucapkan sekali lagi penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat, saudara, guru dan sebagainya kerana telah mendoakan kesejahteraan hidup penulis. Tidak lupa juga ucapan ribuan terima kasih kepada akhi Muhammad Mujahid Mohd Mohtar Ad-Dimasyqi kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada penulis tentang hakikat sebenar hari kelahiran seseorang manusia. Bersama-sama kita bermuhasabah diri setiap kali datangnya hari kelahiran kerana hakikatnya kehidupan kita semakin hari semakin hampir kepada saat kematian. Dalam masa yang sama meningkatkan azam serta keyakinan diri untuk terus menjadi hamba yang terbaik dan unggul kepada Allah Taala dan Umat yang terbaik kepada Nabi Muhammad SAW. Semoga kita menjadi hamba yang soleh dan solehah seterusnya mendapat kebahagiaan dunia akhirat.

Bangi, 19 Rabiulawwal 1434

1 comment:

  1. SubhanaAllah, artikel yang membuatkan diri saya bermuhasabah :) terima kasih abg naufal.

    ReplyDelete