Thursday 24 January 2013

Kenali Blog Penulis


Dengan Nama Allah yang Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Zat yang telah mengajar (manusia) dengan qalam (pena), dan telah mengajar mereka segala sesuatu yang tidak mereka ketahui. Selawat dan salam serta kemuliaan semoga senantiasa tercurah kepada seorang utusan Allah, Nabi Muhammad SAW, juga kepada keluarganya, para sahabatnya dan orang yang mengikuti mereka hingga datangnya hari kiamat.

Terciptanya sebuah blog yang dibina oleh penulis pada tanggal 20 Julai 2011. Pada asalnya, blog ini dibina sekadar untuk suka-suka sahaja oleh penulis atau dengan makna yang lebih mudah difahami ialah hanya mengikut orang tanpa ada tujuan. Kesannya ialah blog sekadar terbina atas nama dan taqlid semata-mata. Setelah hampir dua tahun blog ini tersepi begitu sahaja, tergerak di lubuk hati penulis ingin membuat satu usaha yang boleh mendatangkan manfaat kepada semua manusia.
Melalui hadis Nabi Muhammad SAW:

عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له 

Maksud hadis :

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, penulis mula terfikir untuk membuat satu usaha yang boleh memberikan manfaat kepada setiap manusia walaupun hakikatnya, usaha seperti ini merupakan usaha yang hanya sedikit. Tanggal  24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiul Awal 1434, penulis membuka tirai dalam bidang penulisan melalui blog yang telah lama terbina ini. Tarikh ini merupakan tarikh yang sangat bermakna bagi penulis kerana tarikh lahir penulis kebetulan sama dengan hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW yang merupakan contoh teladan bagi semua manusia.

Penulis mengharapkan dengan usaha yang sangat sedikit ini mampu memberikan ilmu yang bermanfaat kepada semua yang membacanya. Penulis bukanlah manusia yang terbaik dan masih berusaha untuk menjadi hamba Allah yang mu’min dan soleh. Penulis berpegang kepada sabda Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

لا تستحيوا من إعطاء القليل فإن الحرمان أقل منه

Maksudnya : Jangan kamu malu dengan pemberian yang sedikit kerana tidak memberi langsung lebih sedikit daripadanya. 

Penulis juga mengharapkan perkongsian daripada blog ini dapat dikongsikan kepada semua supaya kita boleh saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Tidak lupa juga sekiranya (pasti ada) kesilapan daripada penulis dan sebarang penambahan, mohon ditegur dan diberitahu, bersesuaian dengan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :

بلغوا عني ولو ءاية 



Maksudnya: Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat.

Akhirnya, hanya kepada Allah penulis berharap semoga blog ini bermanfaat, dan menerimanya sebagai amal kebajikan dalam upaya membersihkan diri. Penulis juga berdoa supaya kita semua mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat serta senantiasa berada dalam keredhaaan Allah SWT. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat segala kebaikan. Allah adalah Zat yang Maha Memberi Petunjuk bagi sesiapa jua yang memohon petunjuk. Dialah Tuhan kami dan tidak ada tuhan selain Dia. Di tanganNya terdapat taufik (pertolongan) dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam semoga senantiasa dicurahkan kepada Nabi Muhammad SAW, juga kepada seisi keluarga dan para sahabat Baginda.



Bangi, 12 Rabiulawwal 1434

1 comment: