Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah SWT dengan
nikmat iman, islam dan kehidupan yang di kurniakanNya. Selawat dan salam buat
junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Semuanya bermula dengan usaha dakwah
baginda dalam menyambung tugas para nabi dalam menyampaikan mesej dakwah dan
kalimah tauhid. Tanpa pengorbanan yang baginda lakukan bersama para sahabat
yang lain, mungkin kita hari ini berada dalam agama majusi, hindu, buddha
mahupun kristian. Dengan usaha yang di bawa oleh baginda S.A.W maka kita dapat
mengetahui dan memahami apa itu Islam. Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah
ayat 33.
Yang bermaksud: Dia lah yang telah mengutus RasulNya
(Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan
dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik
tidak menyukainya.
Artikel ini penulis coretkan sempena hari ulang tahun
kelahiran penulis pada 24 Januari yang lalu yang bersamaan dengan satu tarikh
yang istimewa bagi semua umat Islam iaitu 12 Rabiulawwal, dimana lahirnya
seorang tokoh Islam yang bernama Nabi Muhammad SAW. Sungguh penulis berasa
terharu dan gembira apabila hari ulang tahun kelahiran penulis kebetulan jatuh
pada hari yang sama dengan hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Bermulanya
tarikh ini juga penulis berazam untuk memulakan kehidupan yang baru untuk
menjadi seorang hamba Allah yang soleh dan beriman, berdasarkan mafhum hadis
Nabi Muhammad SAW:
“ Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam,
maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia
sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari
ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka”. Mafhum Hadith Rasulullah SAW.
Artikel ini juga penulis persembahkan untuk diri sendiri
sebagai hadiah yang teristimewa dan untuk muhasabah diri. Terima kasih penulis
ucapkan kepada semua yang telah memberikan ucapan yang sangat bermakna dan
mendoakan kerahmatan serta keberkatan dalam umur penulis. Penulis tidak berasa
kesunyian dengan adanya ucapan dan doa daripada semua sahabat termasuklah yang
mengucapkan melalui Facebook, telefon bimbit, dan sebagainya. Walaupun ucapan
dan doa tersebut melalui Facebook, dengan hanya menaip dan menekan klik, tetap
bermakna bagi penulis kerana ucapan dan doa tersebut lahir melalui hati yang
ikhlas daripada semua sahabat dan keikhlasan itulah yang menyebabkan penulis
berasa terharu. Moga apa yang sahabat doakan untuk penulis juga terbias kepada
diri sahabat sendiri dalam meniti baki-baki umur di dunia ini.
Tiada istilah yang lebih besar selain kalimah syukur yang
dapat penulis ucapkan kepada Allah SWT kerana telah memanjangkan usia dan umur
penulis untuk mengambil segala manfaat yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Dalam
masa yang sama untuk memberikan peringatan kepada penulis untuk penulis
berhenti sejenak bermuhasabah atas apa yang penulis lakukan dan amalkan selama
ini.
Umur merupakan satu nikmat paling berharga yang dikurniakan
oleh Allah SWT kepada setiap manusia, kerana umur adalah penentu kepada
perjalanan kita di dunia dan akhirat. Jika umur kita diberkati oleh Allah Taala
maka segala amal perbuatan kita juga turut dipandu dan dibimbing oleh Allah
dalam segenap lapangan kehidupan. Jika umur yang panjang tetapi tidak diberkati
oleh Maha Pencipta, maka tidak mustahil penghujung kehidupan kita akan binasa
hatta di dunia lagi. Semoga kita semua dijauhkan daripada segala kemungkinan
yang tidak baik seperti ini. Maka, mengingati ulang tahun kelahiran itu amat
penting dalam hidup seorang insan.
Memperingati tarikh kelahiran diri sendiri dan sesorang
insan adalah perkara yang baik dan harus. Menyambut hari kelahiran dengan
pelbagai cara dan keramaian juga tidak salah sekiranya apa yang kita lakukan
itu tidak menyalahi hukum dan adat seperti membazir, membuat majlis tari menari
dan lain-lain. Setiap perkara yang kita lakukan mestilah mempunyai niat yang
betul iaitu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Berdasarkan hadis yang
pertama dalam kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi:
Dari Amirul
Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya: " Aku mendengar Rasulullah S.A.W.
bersabda : - "Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada
niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya.
Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu
adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia
yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia
dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah
kerananya."
(Riwayat al-Bukhari no.1, 54, 2529, 3898, 5070, 6689, 6953, Muslim no. 1907, Abu Daud no. 2201, al-Tirmizi no. 1646, al-Nasai`i no.1/59-60, VI/158, Ibn Majah no. 4227 dan Ahmad no. 1/25, 43)
(Riwayat al-Bukhari no.1, 54, 2529, 3898, 5070, 6689, 6953, Muslim no. 1907, Abu Daud no. 2201, al-Tirmizi no. 1646, al-Nasai`i no.1/59-60, VI/158, Ibn Majah no. 4227 dan Ahmad no. 1/25, 43)
Akhirnya penulis
ingin mengucapkan sekali lagi penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat,
saudara, guru dan sebagainya kerana telah mendoakan kesejahteraan hidup
penulis. Tidak lupa juga ucapan ribuan terima kasih kepada akhi Muhammad
Mujahid Mohd Mohtar Ad-Dimasyqi kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada
penulis tentang hakikat sebenar hari kelahiran seseorang manusia. Bersama-sama
kita bermuhasabah diri setiap kali datangnya hari kelahiran kerana hakikatnya kehidupan
kita semakin hari semakin hampir kepada saat kematian. Dalam masa yang sama
meningkatkan azam serta keyakinan diri untuk terus menjadi hamba yang terbaik
dan unggul kepada Allah Taala dan Umat yang terbaik kepada Nabi Muhammad SAW.
Semoga kita menjadi hamba yang soleh dan solehah seterusnya mendapat
kebahagiaan dunia akhirat.
Bangi, 19 Rabiulawwal 1434